Islam sebagai agama wahyu terakhir yang diturunkan
oleh Allah telah menempatkan dirinya pada posisi terbaik kerana
berpeluang berhadapan dengan beberapa tamadun-agama besar yang wujud
sebelumnya. Selain daripada tamadun Hindu, Yunani-Romawi, Majusi ialah
tamadun Yahudi dan Kristian. Dalam berhadapan dengan Umat Yahudi dan
Kristian, yang disebut Al-Qur’an sebagai Ahl al-Kitab, Islam telah
menunjukkan kaedah terbaik dalam berdialog. Contohnya, sebaik sahaja
Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, perkara utama baginda usahakan
dalam konteks pembentukan masyarakat berbilang kaum ialah menggubal
perlembagaan (Sahifah) Madinah. Masyarakat Yahudi dan Nasrani turut
serta dalam menandatanganinya. Justeru adalah menjadi tanggung jawab
bersama mempertahankan kota Madinah jika ia diserang oleh musuh.
Perlembagaan yang digubal menunjukkan bahawa kehadiran mereka serta
hak-hak mereka adalah terjamin di bawah penguasaan orang Islam yang
dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w. Misalnya Nabi sendiri mengarahkan
supaya Baitul-Midras, sebuah institusi pengajian agama Yahudi yang
menjadi sebahagian daripada sinagog, atau rumah ibadah orang Yahudi di
Madinah ketika itu dipelihara.
Demikian juga terhadap kaum Nasrani (Kristian), Nabi
s.a.w sering berinteraksi dengan mereka. Pernah suatu ketika ada
rombongan dari Najran (Yaman sekarang) yang terdiri daripada paderi,
pastor datang mengunjungi Nabi s.a.w. di Masjid Nabawi. Diceritakan
apabila tiba waktu mereka hendak mengadakan kebaktian (sembahyang) Nabi
membenarkan mereka melakukannya dalam kawasan masjid. Kita juga
mengetahui bahawa Nabi s.a.w. pernah mengutus ‘Amr ibn Umayyah al-Damiri
mengadakan hubungan politik dengan Raja Najasyi (Negus) yang beragama
Kristian di Abisinia (sekarang Etiopia). Kemudian diikuti pula dengan
penghantaran Ja‘far bin Abi Talib dan rombongannya ke Abisinia untuk
mendapatkan suaka politik. Dengan perlindungan tersebut rombongan Ja‘far
bin Abi Talib terselamat daripada kekejaman Quraisy Makkah pada waktu
itu. Juga dikhabarkan bahawa Nabi s.a.w pernah memberi jaminan agar
gereja-gereja orang Kristian bebas daripada sebarang pencerobohan, dan
jaminan tersebut disampaikan kepada pembesar rahib bernama Saint
Catherine di Bukit Sinai, Palestin.
