Saturday 2 May 2015

Islam Pelopor Dialog Antara Agama


Islam sebagai agama wahyu terakhir yang diturunkan oleh Allah telah menempatkan dirinya pada posisi terbaik kerana berpeluang berhadapan dengan beberapa tamadun-agama besar yang wujud sebelumnya. Selain daripada tamadun Hindu, Yunani-Romawi, Majusi ialah tamadun Yahudi dan Kristian. Dalam berhadapan dengan Umat Yahudi dan Kristian, yang disebut Al-Qur’an sebagai Ahl al-Kitab, Islam telah menunjukkan kaedah terbaik dalam berdialog. Contohnya, sebaik sahaja Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, perkara utama baginda usahakan dalam konteks pembentukan masyarakat berbilang kaum ialah menggubal perlembagaan (Sahifah) Madinah. Masyarakat Yahudi dan Nasrani turut serta dalam menandatanganinya. Justeru adalah menjadi tanggung jawab bersama mempertahankan kota Madinah jika ia diserang oleh musuh. Perlembagaan yang digubal menunjukkan bahawa kehadiran mereka serta hak-hak mereka adalah terjamin di bawah penguasaan orang Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w. Misalnya Nabi sendiri mengarahkan supaya Baitul-Midras, sebuah institusi pengajian agama Yahudi yang menjadi sebahagian daripada sinagog, atau rumah ibadah orang Yahudi di Madinah ketika itu dipelihara.
Demikian juga terhadap kaum Nasrani (Kristian), Nabi s.a.w sering berinteraksi dengan mereka. Pernah suatu ketika ada rombongan dari Najran (Yaman sekarang) yang terdiri daripada paderi, pastor datang mengunjungi Nabi s.a.w. di Masjid Nabawi. Diceritakan apabila tiba waktu mereka hendak mengadakan kebaktian (sembahyang) Nabi membenarkan mereka melakukannya dalam kawasan masjid. Kita juga mengetahui bahawa Nabi s.a.w. pernah mengutus ‘Amr ibn Umayyah al-Damiri mengadakan hubungan politik dengan Raja Najasyi (Negus) yang beragama Kristian di Abisinia (sekarang Etiopia). Kemudian diikuti pula dengan penghantaran Ja‘far bin Abi Talib dan rombongannya ke Abisinia untuk mendapatkan suaka politik. Dengan perlindungan tersebut rombongan Ja‘far bin Abi Talib terselamat daripada kekejaman Quraisy Makkah pada waktu itu. Juga dikhabarkan bahawa Nabi s.a.w pernah memberi jaminan agar gereja-gereja orang Kristian bebas daripada sebarang pencerobohan, dan jaminan tersebut disampaikan kepada pembesar rahib bernama Saint Catherine di Bukit Sinai, Palestin.


 
Demikianlah halnya, hubungan baik seperti ini diteruskan oleh para Sahabat. Dalam peristiwa pembukaan wilayah Palestin Sayyidina ‘Umar telah menjamin bahawa nyawa, harta, dan rumah ibadah orang-orang Kristian akan terlindung daripada sebarang pencerobohan. Bukan sahaja orang Kristian, bahkan juga orang Yahudi yang sebelum ini terusir dari perkampungan asal juga dipelawa untuk kembali mendiami tempat asal mereka.
Dialog Sebagai Bidang Keilmuan
Dari sudut keilmuan pula para ilmuwan Islam ternyata sangat serius dalam usaha memperjelas persoalan yang berhubung dengan fahaman agama-agama lain. Al-Biruni (m. 1084M) dengan kitabnya berjudul Kitab al-Hind, di samping menjelaskan akidah agama-agama kuno seperti Majusi dan Sabian, menumpukan huraiannya mengenai agama Hindu hasil daripada interaksinya dengan orang-orang Hindu di Benua India. Demikian juga Ibn Hazm (m. 1064M) telah memahami tradisi Yahudi-Kristian kerana beliau dibesarkan di Andalusia lalu membuat analisis kritis khususnya terhadap agama Yahudi dan Kristian, selain agama-agama lain dalam kitabnya berjudul al-Fasl Fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal. Demikian pula al-Shahrastani (m. 1153M) dengan kitabnya berjudul al-Milal wa al-Nihal yang membincangkan hampir kesemua sistem kepercayaan/agama yang pernah wujud dalam sejarah kelompok-kelompok umat beragama. Seorang lagi tokoh yang tidak asing lagi ialah Ibn Taimiyyah (m. 1317M) dengan judul tulisannya al-Jawab al-Sahih liman Baddala Din al-Masih yang menumpkan kritikannya terhadap akidah umat Kristian.
Amat menarik sekali dalam hubungan ini, ialah kehadiran seorang ilmuwan dari rantau Melayu juga turut serta dalam menghidupkan tradisi kelimuan berinteraksi dengan kelompok-kelompok berlainan agama. Walaupun jarak waktunya agak lama, kira-kira 300 tahun, namun tradisi kesarjanaannya memperlihatkan kesinambungan penguasaan ilmu dalam bidang perbandingan agama. Nuruddin al-Raniri (m. 1658M) dengan kitabnya berjudul al-Tibyan Fi Ma‘rifat al-Adyan, merupakan sebuah kitab yang menjelaskan prinsip-prinsip ajaran semua agama, meliputi zaman Nabi Adam a.s. hinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w.
Kita menyebutkan semua ini ialah bagi menjelaskan fakta bahawa kepedulian dan keperihatinan Islam begitu tinggi terhadap kelompok-kelompok beragama bukan Islam. Kalau di zaman awal Islam, Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dengan inisiatifnya berinteraksi dengan orang bukan Islam dan juga di zaman Sahabat seperti Sayyidina ‘Umar dan seterusnya para ilmuwan Islam turut mengambil inisiatif membekalkan umat dengan pengetahuan tentang kepercayaan agama kelompok-kelompok tersebut sebagai persiapan ilmu bagi membolehkan mereka berinteraksi atau menurut istilah sekarang ‘berdialog’.
Perbincangan mengenai dialog seterusnya mengambil sudut memperjelas ciri penurunan wahyu seperti yang termaktub dalam al-Qur’an. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, menerusi kitabnya berjudul Adab al-Hiwar fi al-Islam (Terjemahan Indonesia berjudul: Menemukan Format Dialog Dalam Islam, Penerbit Azan, Jakarta 2001), membuat penelitian yang amat menarik. Menurut beliau keseluruhan al-Qur’an mengindikasikan fenomena dialog sebab semua firman yang diturunkan adalah secara dialogis atau verbatim kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kita lihat kata kunci “al-qawl” (kata-kata), yang juga diertikan sebagai wahyu seperti yang disebut dalam ungkapan qawlan thaqilan (Surah al-Muzammil, 73:5), bermaksud “perkataan yang berat”, mengenai perkara-perkara yang harus dijelaskan kepada orang lain (pihak ketiga). Daripada “al-qawl” terbentuklah katakerja yang lain seperti qaala (ia telah berkata), yaquulu (ia sedang/akan berkata), qul (kamu katakan), quuluu ( kamu /ramai/ katakan), qaaluu (mereka telah berkata), yaquuluun (mereka sedang/akan berkata). Perkataan “qaala”, dalam al-Qur’an diulang lebih 500 kali dan dalam bentuk katakerja yang lainnya disebut berulang-ulang sebanyak lebih daripada 1700 kali. Inilah asas yang beliau jadikan hujah bahawa kandungan al-Qur’an itu pada hakikatnya mengajak manusia untuk berdialog.
Muhammad Sayyid Tantawi juga menghuraikan bentuk-bentuk dan fungsi dialog dalam Islam. Mengenai bentuk dialog beliau menjelaskan beberapa istilah yang sekaligus mencirikan bentuk dialog. Antaranya, istilah munaazarah daripada perkataan nazar yang memberi makna lebih kepada mengungkapkan pandangan demi untuk mencapai kebenaran dan keputusan yang terbaik. Kedua, mujaadalah daripada istilah jadal (seperti dalam ayat: wajaadil hum bil lati hiya ahsan- Surah al-Nahl, 16:125) bertujuan untuk menundukkan lawan secara berhujah dengan bukti-bukti ilmiah. Satu lagi istilah yang seerti dengan mujaadalah ialah muhaawarah (hiwaar). Ketiga-tiga istilah ini biasa dipakai bagi menunjukkan adanya usaha perbahasan antara dua belah pihak bagi mendapatkan penjelasan, kejernihan sesuatu perkara atau pun untuk mencapai persetujuan dalam satu-satu isu yang disepakati. Dalam perkataan lain, bentuk-bentuk dialog yang dijelaskan di atas adalah sesuai untuk tujuan dialog antara agama yang kita bicarakan ini.
Fungsi dan Prinsip Dialog
Dapat difahami bahawa fungsi terutama dialog antaranya ialah bagi mendapatkan penjelasan tentang hal-hal yang tidak diketahui atau pun kurang difahami. Contoh yang paling menarik ialah peristiwa Nabi Ibrahim a.s. meminta Allah supaya memperlihatkan (bermaksud diberi kefahaman) kepadanya bagaimana Allah menghidupkan yang sudah mati. Lalu Allah berfirman: “Apakah kamu (Ibrahim) tidak beriman? Dia (Ibrahim) berkata, tentu ya, Tetapi sekadar untuk menenangkan hatiku” (Surah al-Baqarah, 2: 260).
Jika diteliti setiap ayat al-Qur’an yang diawali dengan qul, qala, qaaluu, yaquuluu dan seumpamanya, merupakan ekspresi dialog antara Allah dengan hambaNya seperti para rasul, para malaikat, iblis dan syaitan. Juga al-Qur’an merakamkan dialog antara para rasul dengan kaumnya yang menyekutukan Allah. Seperti Nabi Musa a.s. dengan Bani Israel, Nabi Lut a.s. dengan kaumnya, Nabi Syu‘aib dengan kaumnya ‘Ad dan Thamud dalam perkara keimanan dan kekufuran kaum mereka.
Secara konseptual pula, kita telah pun dapat memahami kedudukan serta kepentingan dialog menurut Islam. Sehubungan dengan ini dapat pula kita mengenal pasti beberapa prinsip yang boleh kita jadikan panduan semasa berdialog antara lainnya:
1. Sesuai dengan konsep munaazarah, mujaadalah dan muhaawarah, seseorang yang terlibat dalam dialog hendaklah menggunakan pendekatan yang lemah lembut yang boleh memikat hati orang yang diajak berdialog, seperti yang terakam dalam peristiwa Nabi Musa bersama saudaranya Nabi Harun ketika diperintahkan berdialog dengan Fir’aun. Allah berfirman yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Fir’aun, sesungguhnya dia telah melampaui batas; Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut” (Surah Ta Ha, 20: 43-44).
2. Segala penghujahan seseorang itu hendaklah berasaskan pada ketinggian ilmu serta hujah yang kukuh apabila berhadapan dengan rakan dialog seperti pengalaman Nabi Ibrahim berhadapan dengan seorang raja yang zalim bernama Namrud. Pada pusingan pertama, setelah mendengar penjelasan Nabi Ibrahim bahawa Tuhannya boleh menghidupkan dan mematikan Namrud dapat mematahkan kata-kata Nabi Ibrahim dengan berkata: Aku pun boleh menghidupkan dan mematikan. Tetapi apabila Nabi Ibrahim berkata Tuhanku boleh menerbitkan matahari dari timur dan tenggelamkannya di barat, Namrud mati akal ( lihat Surah al-Baqarah, 2: 258).
3. Seseorang yang berdialog itu hendaklah memberi peluang secukupnya kepada teman dialog untuk memberikan pendapatnya. Dalam hal ini ulama terdahulu pernah mengatakan: “Pendapatku itu benar tetapi ada kemungkinan silap, dan pendapatmu itu salah tetapi ada kemungkinan benar”. Dalam konteks ini, iblis yang terlaknat itu pun Tuhan berikan kesempatan untuk sujud (memberi hormat) kepada Adam, setelah Adam diciptakan, walaupun ternyata iblis itu memang enggan taat.
4. Hendaklah seseorang yang berdialog itu bersikap tawadhu’ (rendah diri), dan menjauhi daripada sebarang anasir tipu daya, dan hasad dengki. Justeru dianjurkan penggunaan bahasa yang sopan, dan terbaik tetapi tidak kurang pula ketegasan hujah yang dikemukakan seperti yang terungkap dalam Surah al-Nahl, 16 :125: “Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (yakni perkataan yang tegas dan benar) dan pengajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang terbaik”
5. Seseorang itu hendaklah bersikap toleran terhadap rakan dialognya walaupun ada waktu-waktunya akan terdapat perselisihan pendapat yang tajam, namun ia masih mampu menerimanya sebagai teman baiknya. Kita perhatikan maksud firman Allah: “Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang-orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan, (dan darinya) seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia” (Surah Fussilat, 41:34).
Kesimpulan
Kesyumulan Islam bukan sahaja terserlah dalam sistem akidah, ibadah, akhlaknya bahkan juga terserlah dalam seluruh sistem kehidupan khususnya dalam aspek muamalat (hubungan sesama manusia), dan dalam konteks perbincangan kita adalah dialog dengan orang bukan Islam. Sebagaimana digambarkan di atas, tradisi Islam penuh dengan dialog antara agama baik dari segi sejarah, keilmuan dan yang penting sekali ialah ciri penurunan kandungan al-Qur’an yang besifat dialogis itu. Justeru anjuran berdialog telah menjadi salah satu kaedah terpenting dalam misi kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, yang juga sebagai wahana pendakwahan Islam ke seluruh alam ini. Dalam konteks dialog antara agama yang dipopularkan oleh Barat pada waktu ini, sebenarnya menurut pandangan Islam usaha sedemikian sudah dimulai oleh Nabi besar kita Muhammad s.a.w. sejak 1400 tahun yang lalu. Hal ini dapat difahami daripada peristiwa yang dirakamkan Allah S.W.T. dalam firmanNya yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada satu kalimat (ketetapan) yang tidak perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah…” (Surah Ali ‘Imran, 3:64). Dengan hujah-hujah di atas dan dengan memahami konsep Dialog dalam pengertian yang lebih luas, kita berpendapat bahawa Islam adalah ‘pelopor dialog antara agama’.

Search

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...